Friday, June 26, 2015

Rukun - Rukun Khuluk

RUKUN-RUKUN KHULUK

Khuluk terdiri daripada 4 rukun iaitu suami (al-Mukhala’), isteri (al-Mukhtali’ah), bayaran (i’wadh) dan sighah khuluk iaitu ijab dan qabul. Setiap rukun itu pula ada syarat yang tertentu :

  •         i.            Suami (al-Mukhala’)


Para ulamak bersepakat bahawa orang yang dikhuluk iaitu suami hendaklah orang yang mempunyai hak untuk mentalak. Dalam hal ini, ada kaedah yang mengatakan barangsiapa yang boleh mentalak, boleh juga untuk mengkhuluknya. Suami juga mestilah seorang yang mukallaf iaitu seorang yang sah untuk menjatuhkan talak. Disyaratkan juga bagi seorang suami itu seorang yang baligh,berakal dan mampu membuat pilihan (tidak dipaksa). Maka tidak sah khuluk seorang kanak-kanak , orang gila dan orang yang dipaksa. Manakala khuluk suami yang majhur ‘alaih menurut mazhab Asy-syafi’ie adalah sah sama ada dengan izin wali ataupun tidak.

Majhur ‘alaih ialah orang yang ditegah mengurus hartanya kerana ditakuti dia tidak tahu untuk mengembangkannya atau membazirkannya. Khuluk daripada orang yang muflis dan safih juga dikira sah (orang yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dengan baik mengenai hartanya).

Oleh itu, wajiblah bagi isteri membayar ganti rugi kepada wali suami yang safih itu kerana ditakuti suami tidak dapat menguruskan harta itu dengan baik kecuali setelah mendapat izin walinya. Jika isteri menyerahkan harta kepada suami yang safih itu dan harta itu lenyap, maka wajiblah ke atas isteri itu membayar mahar mithil iaitu mahar yang sebanding dengan mahar perempuan-perempuan dalam keluarga isteri yang terdekat  misalnya adik beradik. Jika tiada, hendaklah mengikut jumlah mahar yang menjadi kebiasaan bagi perempuan senegerinya.

  •         ii.            Isteri (al-Mukhtali’ah)


Bagi isteri yang hendak mengkhuluk disyaratkan bahawa isteri itu hendaklah merupakan isteri yang sah dari segi syarak. Hal ini adalah kerana khuluk bertujuan untuk mengakhiri ikatan perkahwinan. Apabila ianya daripada pernikahan yang tidak sah, maka isteri tersebut tidak mempunyai hak untuk mengkhuluk. Disyariatkan juga hendaklah isteri itu seorang yang mukallaf iaitu bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Khuluk seorang kanak-kanak sama ada mumayyiz atau tidak atau orang gila adalah tidak sah. Khuluk daripada isteri yang safih juga tidak sah kerana dia ditegah dari bertindak ke atas hartanya walaupun ada keizinan daripada walinya. Jika ia berlaku maka jatuhlah talak raj’i (talak yang boleh dirujuk tanpa akad yang baharu) bukan talak ba’in sughra yang berlaku dalam hukum khuluk. Jika khuluk ini berlaku sebelum jima’ ke atas isteri yang safih maka jatuhlah talak ba’in tanpa sebarang bayaran kepada suami. Selain itu, apabila isteri dalam masa iddah talak raj’i maka isteri tersebut boleh mengajukan talak kerana wanita yang masih dalam iddah talak raj’i masih dipandang sebagai isteri yang sah. Oleh itu, diperbolehka mengajukan khuluk dengan membayar sejumlah ‘iwadh. Manakala, apabila isteri tersebut dalam iddah talak ba’in, maka tidak boleh baginya mengajukan khuluk kerana khuluk tersebut tidak sah. Hal ini adalah kerana isteri tersebut sudah dipandang sebagai orang lain dan tidak ada lagi ikatan pernikahan. Khuluk hanya terjadi kepada mereka yang masih dalam ikatan suami isteri.

  •         iii   Bayaran (‘iwadh)


‘Iwadh ialah sejumlah harta yang diambil oleh suami daripada isterinya kerena mengajukan khuluk. Syarat’iwadh ialah harta tersebut hendaklah layak untuk dijadikan mas kahwin. Semua jenis harta yang boleh dijadikan mas kahwin boleh dijadikan ‘iwadh. Bayaran itu juga hendaklah mampu diserahkan kepada suami. Bayaran juga dibolehkan dalam bentuk hutang,manfaat, barang atau harta. Tidak boleh memberi ‘iwadh yang terdiri daripada binatang yang melata, contohnya burung yang terbang di udara atau ikan di laut.

Tidak boleh memberi ‘iwadh dalam bentuk sesuatu yang haram atau fasid seperti arak dan bangkai yang haram dimakan. Jika tawaran tersebut diterima, maka berlakulah talak ba’in berserta bayaran mahar mithil kepada suami. Demikian juga jika tawaran bagi menebus talak itu terdiri daripada sesuatu yang tidak diketahui kadarnya, seperti suami khul isterinya dengan kain yang tidak diketahui kadar dan nilainya.

  •         iv.            Sighah iaitu Ijab dan Qabul


Lafaz sighah ijab dan qabul itu hendaklah terang dan jelas bagi orang yang mampu berkata-kata. Bagi yang bisu, memadai dengan isyarat yang difahami atau secara bertulis. Lafaz sighah ijab dan qabul hendaklah tidak diselangi dengan perkataan lain yang menyebabkanya menjadi rosak dan tidak sah. Sighah khuluk kinayah oleh pihak suami adalah sah. Selain itu, sighah khuluk mestilah tanpa taqliq dan batasan waktu.Tidak boleh juga diam yang lama di antara sighah ijab dan qabul. Hendaklah sighah ijab dan qabul itu tidak bercanggah antara satu sama lain. Misalnya, suami berkata: “Aku ceraikan engkau dengan seribu ringgit” lalu isteri menjawab: “Aku terima dengan dua ribu ringgit”. Maka sighah ini tidak diterima dari sudut syara’. Khuluk dengan bergurau-gurau juga dikira sah sama seperti talak.

No comments:

Post a Comment

IT'S ME...!!!

IT'S ME...!!!
Assalamualaikum and hello to all my beloved readers , most of all thanks for reading my blog hope you will get ibrah from my posts...sorry for any mistakes done...if you have any problems,just leave the comments there..i'll try my best to share my knowledge with you...sharing is caring...thanks for visiting...salam ukhuwah..maassalamah wa ilalliqa'..!!!