RUKUN-RUKUN KHULUK
Khuluk terdiri daripada 4 rukun iaitu suami (al-Mukhala’),
isteri (al-Mukhtali’ah), bayaran (i’wadh) dan sighah khuluk iaitu ijab dan
qabul. Setiap rukun itu pula ada syarat yang tertentu :
- i. Suami (al-Mukhala’)
Para ulamak bersepakat bahawa orang yang dikhuluk iaitu
suami hendaklah orang yang mempunyai hak untuk mentalak. Dalam hal ini, ada
kaedah yang mengatakan barangsiapa yang boleh mentalak, boleh juga untuk
mengkhuluknya. Suami juga mestilah seorang yang mukallaf iaitu seorang yang sah
untuk menjatuhkan talak. Disyaratkan juga bagi seorang suami itu seorang yang
baligh,berakal dan mampu membuat pilihan (tidak dipaksa). Maka tidak sah khuluk
seorang kanak-kanak , orang gila dan orang yang dipaksa. Manakala khuluk suami
yang majhur ‘alaih menurut mazhab Asy-syafi’ie adalah sah sama ada dengan izin
wali ataupun tidak.
Majhur ‘alaih ialah orang yang ditegah mengurus hartanya
kerana ditakuti dia tidak tahu untuk mengembangkannya atau membazirkannya.
Khuluk daripada orang yang muflis dan safih juga dikira sah (orang yang tidak
boleh membuat keputusan sendiri dengan baik mengenai hartanya).
Oleh itu, wajiblah bagi isteri membayar ganti rugi kepada
wali suami yang safih itu kerana ditakuti suami tidak dapat menguruskan harta
itu dengan baik kecuali setelah mendapat izin walinya. Jika isteri menyerahkan
harta kepada suami yang safih itu dan harta itu lenyap, maka wajiblah ke atas
isteri itu membayar mahar mithil iaitu mahar yang sebanding dengan mahar
perempuan-perempuan dalam keluarga isteri yang terdekat misalnya adik beradik. Jika tiada, hendaklah
mengikut jumlah mahar yang menjadi kebiasaan bagi perempuan senegerinya.
- ii. Isteri (al-Mukhtali’ah)
Bagi isteri yang hendak mengkhuluk disyaratkan bahawa
isteri itu hendaklah merupakan isteri yang sah dari segi syarak. Hal ini adalah
kerana khuluk bertujuan untuk mengakhiri ikatan perkahwinan. Apabila ianya
daripada pernikahan yang tidak sah, maka isteri tersebut tidak mempunyai hak
untuk mengkhuluk. Disyariatkan juga hendaklah isteri itu seorang yang mukallaf
iaitu bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Khuluk seorang kanak-kanak sama
ada mumayyiz atau tidak atau orang gila adalah tidak sah. Khuluk daripada
isteri yang safih juga tidak sah kerana dia ditegah dari bertindak ke atas
hartanya walaupun ada keizinan daripada walinya. Jika ia berlaku maka jatuhlah
talak raj’i (talak yang boleh dirujuk tanpa akad yang baharu) bukan talak ba’in
sughra yang berlaku dalam hukum khuluk. Jika khuluk ini berlaku sebelum jima’ ke
atas isteri yang safih maka jatuhlah talak ba’in tanpa sebarang bayaran kepada
suami. Selain itu, apabila isteri dalam masa iddah talak raj’i maka isteri
tersebut boleh mengajukan talak kerana wanita yang masih dalam iddah talak
raj’i masih dipandang sebagai isteri yang sah. Oleh itu, diperbolehka
mengajukan khuluk dengan membayar sejumlah ‘iwadh. Manakala, apabila isteri
tersebut dalam iddah talak ba’in, maka tidak boleh baginya mengajukan khuluk
kerana khuluk tersebut tidak sah. Hal ini adalah kerana isteri tersebut sudah
dipandang sebagai orang lain dan tidak ada lagi ikatan pernikahan. Khuluk hanya
terjadi kepada mereka yang masih dalam ikatan suami isteri.
- iii Bayaran (‘iwadh)
‘Iwadh ialah sejumlah harta yang diambil oleh suami
daripada isterinya kerena mengajukan khuluk. Syarat’iwadh ialah harta tersebut
hendaklah layak untuk dijadikan mas kahwin. Semua jenis harta yang boleh
dijadikan mas kahwin boleh dijadikan ‘iwadh. Bayaran itu juga hendaklah mampu
diserahkan kepada suami. Bayaran juga dibolehkan dalam bentuk hutang,manfaat,
barang atau harta. Tidak boleh memberi ‘iwadh yang terdiri daripada binatang
yang melata, contohnya burung yang terbang di udara atau ikan di laut.
Tidak boleh memberi ‘iwadh dalam bentuk sesuatu yang
haram atau fasid seperti arak dan bangkai yang haram dimakan. Jika tawaran
tersebut diterima, maka berlakulah talak ba’in berserta bayaran mahar mithil
kepada suami. Demikian juga jika tawaran bagi menebus talak itu terdiri
daripada sesuatu yang tidak diketahui kadarnya, seperti suami khul isterinya
dengan kain yang tidak diketahui kadar dan nilainya.
- iv. Sighah iaitu Ijab dan Qabul
Lafaz sighah ijab dan qabul itu hendaklah terang dan
jelas bagi orang yang mampu berkata-kata. Bagi yang bisu, memadai dengan
isyarat yang difahami atau secara bertulis. Lafaz sighah ijab dan qabul hendaklah
tidak diselangi dengan perkataan lain yang menyebabkanya menjadi rosak dan
tidak sah. Sighah khuluk kinayah oleh pihak suami adalah sah. Selain itu,
sighah khuluk mestilah tanpa taqliq dan batasan waktu.Tidak boleh juga diam
yang lama di antara sighah ijab dan qabul. Hendaklah sighah ijab dan qabul itu
tidak bercanggah antara satu sama lain. Misalnya, suami berkata: “Aku ceraikan
engkau dengan seribu ringgit” lalu isteri menjawab: “Aku terima dengan dua ribu
ringgit”. Maka sighah ini tidak diterima dari sudut syara’. Khuluk dengan
bergurau-gurau juga dikira sah sama seperti talak.
No comments:
Post a Comment