DEFINISI KHULUK
Khuluk
menurut Kamus Dewan Edisi yang Keempat membawa maksud perceraian yang diminta
oleh isteri dengan bayaran menurut jumlah yang dipersetujui, tebus talak.
Khuluk merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘menanggalkan’ atau ‘menghilangkan’.
Khuluk menurut istilah fiqh pula maksudnya suatu perceraian berbayar dari
isteri kepada suami dengan menggunakan lafaz talaq, khul’ atau tebus talaq.
Perceraian
menggunakan kaedah khuluk ini juga disebut sebagai ‘perceraian tebus talak’. Dari
segi istilahnya khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri kepada
suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Cerai
secara khuluk berlaku di mana seorang isteri sudah tidak berminat lagi kepada
suaminya walaupun suaminya itu seorang yang baik. Kedua-dua pihak bersetuju
untuk bercerai dengan isteri memberi wang atau lain-lain harta benda kepada
suaminya. Maka, jika kadar tebusan itu dipersetujui, suami hendaklah melafazkan
talak. Perceraian tersebut dipanggil khuluk atau dalam istilah lainnya tebus
talak.
Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus
talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya kecuali dengan akad
yang baru. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajarnya mengambil
kesempatan untuk mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.
Khuluk
disyariatkan dengan berpandukan Al-Quran :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ
فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا
آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا
جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ
وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
|
Maksudnya : “Tidak halal bagi kamu mengambil semula
apa-apa yang diberikan kepada mereka sedikit pun (isteri yang diceraikan),
kecuali kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menjalankan hukum Allah. Jika
kamu (wali-wali) khuatir mereka tidak dapat menjalankan hukum Allah, maka
kedua-duanya tidak berdosa tentang apa-apa bayaran (tebus talak) yang
dibayarnya.” (Al-Baqarah:229).
Khuluk
diharuskan bagi mengelakkan isteri menderhaka kepada suaminya dan menyedarkan
kedua-dua pihak akan kesilapan masing-masing. Selain itu, ia juga sebagai
penghormatan kepada isteri iaitu isteri berhak bertindak mengikut peraturan
yang betul untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.
Dalam perbahasan yang lain khuluk pada bahasa diertikan
sebagai tanggal yang berasal daripada perkataan khala’ ats-tsauba yang
bermaksud menanggalkan pakaian kerana isteri adalah pakaian suami dan suami
adalah pakaian isteri sebagaimana disebut dalam firman Allah di dalam Al-Quran:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
“Mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah
pakaian bagi mereka.”(Al- Baqarah:187).
Para pakar fiqh memberi definisi bahawa khuluk adalah
seorang suami menceraikan isterinya dengan imbalan mengambil sesuatu darinya.
Pengertian
khuluk dari segi syarak ialah terjadinya perpisahan (perceraian) antara suami
isteri dengan keredhaan daripada keduanya dan dengan pembayaran yang diserahkan
oleh isteri kepada suaminya. Kata Syaikh Al-Bassam, Al- Khuluk ialah perceraian
suami isteri dengan pembayaran yang diambil suami daripada isterinya atau
dengan lafaz lain yang khusus. Oleh itu, khuluk menurut istilah syarak ialah
perceraian yang diminta oleh isteri dari suaminya dengan memberikan ganti
sebagai tebusan.
No comments:
Post a Comment